UMNO Sabah selar ADUN Gagasan Rakyat bawa isu kebencian dan hentam keperibadian, parti UMNO ke dalam Persidangan DUN

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyelar tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) dari Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) membawa isu kebencian dan menghentam keperibadian dan parti UMNO ke dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata, sebagai wakil rakyat, sewajarnya membawa suara rakyat dan isu-isu pembangunan kepada Kerajaan Negeri semasa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bukannya menghentam keperibadian pemimpin UMNO.

“Berhentilah berpolitik dalam mesyuarat DUN, misi kita untuk membawa isu-isu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob pada sesi perbahasan mendakwa Ketua-Ketua Bahagian UMNO dilantik sebagai Penyelaras Pusat Giat Mara.

Manakala ADUN Kuamut Datuk Masiung Banah menghentam keperibadian Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang beliau dakwa gagal memahami peranan sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag serta fungsi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Suhaimi yang juga ADUN Dilantik menyifatkan Yusof dan Masiung tidak berintegriti dan tidak menghormati institusi DUN.

“Sejak Gagasan Rakyat diwujudkan, ADUN mereka (Yusof dan Masiung) tidak menghormati intitusi DUN Sabah..mereka membawa sikap kebencian dan membangkitkan kemarahan kepada Bung Moktar.

“Inilah sikap pemimpin yang disimpan oleh Gagasan Rakyat yang sudah melompat banyak kali,” kata Suhaimi sambil menambah mereka sepatutnya matang ketika berada dalam DUN kerana sudah lama bergelar wakil rakyat.

Beliau berkata berbeza dengan ADUN dari UMNO Sabah lebih menjurus membawa isu-isu rakyat pada perbahasan Persidangan DUN Sabah ini.

Katanya sebagai pembangkang di Kerajaan Negeri, sudah tentu ini peluang untuk menyampaikan terus kepada Kerajaan Negeri khususnya permasalahan rakyat yang berlaku di kawasan masing-masing.

Justeru itu, Suhaimi menyarankan ADUN – ADUN Gagasan Rakyat menghentikan membawa isu-isu politik dan menghentam keperibadian di Persidangan DUN sebaliknya menumpukan kepada permasalahan rakyat untuk diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri.