Wakaf satu instrumen perekonomian diperkasa dan diperluas skopnya di Sabah

KOTA KINABALU: Wakaf sebagai salah satu instrumen perekonomian turut diperkasa dan diperluaskan skopnya, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Menurutnya, satu lot bangunan empat tingkat dan sebuah klinik wakaf bergerak telah pun sempurna diserahkan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi memberi manfaat kepada masyarakat di negeri ini.

Katanya, Dana Tunai Wakaf Am, Pendididikan, Kesihatan dan Pembangunan telah pun dilancarkan dengan penyertaan yang baik terutamanya pewakafan secara Pemotongan Gaji Bulanan secara tetap dan sistematik.

Penggunaan secara digital telah mempermudahkan ibadah berwakaf tunai ini di laksanakan, katanya pada ucapan penggulungan Belanjawan 2024 di Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Beliau berkata, MUIS telah membuktikan komitmen tinggi dalam pengurusan kewangan bila berjaya mendapatkan Sijil Tanpa Teguran Ketua Audit Negara selama tiga tahun berturut-turut bermula pada tahun kewangan 2019, 2020 dna 2021.

Katanya, untuk Penyata Kewangan bagi tahun 2022 telah selesai diaudit dengan mengikut segala keperluan yang telah ditetapkan. Keputusan Sijil Audit akan diumumkan selepas mendapat kebenaran dari Ketua Audit Negara.

“Kemampuan pengurusan yang cekap ini juga di buktikan dengan penganugerahan sijil ISO 9001-2015 yang telah pun diperolehi oleh MUIS sejak tahun 2021 lagi.

“Selain berjaya mensifarkan hutang yang ada agensi ini juga mengukuh dan meningkatkan prestasi kewangan setiap tahun melalui portfolio pelaburan yang terlibat dalam industri perbankan, perladangan dan sewaan hartanah,” katanya.

Arifin berkata, dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup golongan asnaf, MUIS telah melaksanakan Program Zakat Zero to Hero bermula tahun 2023 seiring dengan aspirasi SMJ.

Katanya, MUIS telah berjaya memberikan pekerjaan 100 peratus kepada keseluruhan peserta yang menyertai program ini dengan peserta adalah terbuka kepada kalangan asnaf, pelajar tahfiz dan Belia B40.

Dalam pada itu, beliau berkata, Melalui Aspirasi Ketua Menteri dalam ucapan dewan Undangan Negeri, MUIS dalam proses mewujudkan Kolej Islam di Negeri Sabah yang akan direalisasikan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, MUIS dalam hal ini, akan bekerjasama dengan institut pengajian tinggi awam dan swasta dari segi mengadakan program-program pilihan yang sangat diperlukan di pasaran.

Katanya, ini bagi memastikan Aspirasi Sabah Maju Jaya dapat dilaksanakan dengan jayanya dan melalui kerjasama pintar ini halatuju pelajar-pelajar ini akan dapat ditentukan