UMNO Sabah lancar GERAK 17 bermula di DUN Telupid sebagai persiapan hadapi PRN

Bung Moktar Radin

TELUPID: UMNO Sabah meningkatkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) menerusi program Jelajah Akar Umbi (GERAK 17) yang bermula di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telupid dan DUN Labuk.

Pengerusinya Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata menerusi program itu, pihaknya akan menjelajah seluruh Sabah bagi menemui pemimpin dan ahli akar umbi untuk berkongsi mengenai perkembangan politik semasa.

Katanya, GERAK 17 juga dimanfaatkan untuk meninjau persediaan jentera parti di peringkat bahagian bagi menghadapi PRN17 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang.

“Alhamdulillah semangat dan momentum ahli di peringkat akar umbi masih kukuh dan kehadiran mereka di luar jangkaan membuktikan kesetiaan untuk terus berjuang bersama UMNO.

“Walaupun program yang kita atur tidak menyediakan apa-apa kemudahan tetapi mereka hadir secara sukarela,” katanya selepas menyempurnakan program sulung GERAK 17, di sini, semalam.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata GERAK 17 dilaksanakan atas keinginan untuk melihat UMNO kembali dominan dan gagah untuk menghadapi PRN akan datang.

Jelasnya, jika semangat itu dapat dikembalikan, beliau yakin UMNO mampu kembali berada di persada politik untuk mengambil alih pemerintahan negeri.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengingatkan seluruh ahli parti itu agar bangkit membina kekuatan parti dengan menggunakan jentera yang ada.

Katanya, selain politik pembangunan dan politik khidmat, UMNO juga perlu tangkas dalam politik isu dan sentimen yang sering dimainkan di media sosial serta menangkis setiap serangan terhadap parti itu.

“Kita sedang berdepan serangan pihak lawan yang menggunakan media sosial bagi menabur fitnah dan memperlekah perjuangan kita. Ini yang perlu kita lawan demi mempertahankan imej UMNO,” katanya.

GERAK 17 berkunjung ke DUN Sekong hari ini, diikuti DUN Sungai Manila dan Sungai Sibuga esok.