PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyarankan agar lebih banyak koperasi dan agensi pemberi dana pembiayaan atau koperasi kredit melanggan serta menggunakan Ekosistem Sektor Kewangan Kredit Koperasi (SPeKAR).
Beliau berkata, ini penting bagi memastikan ekosistem kewangan koperasi dapat ditadbir dan diperkasakan dengan baik.
“SPeKAR berada di barisan hadapan dalam merevolusikan penggunaan sistem pelaporan kredit dengan memanfaatkan teknologi terkini untuk memperkasakan data kredit dan perniagaan.
“Inisiatif ini amat membantu pihak kerajaan dan koperasi bagi penurunan bilangan pinjaman tidak berbayar (NPL) disebabkan maklumat yang tidak mencukupi ketika proses penyaringan kelayakan.
“Usaha ini juga selaras dengan langkah strategik bagi pembentukan persekitaran perniagaan yang mampan dan lestari dibawah Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021 – 2025 (TRANSKOM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ulang Tahun Sedekad Inovasi Bersama SPeKAR Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Majlis Penghargaan Pelanggan SPeKAR, di Pulse Garen Hotel, Putrajaya, di sini, kelmarin.
Ewon berkata, usaha kerajaan bagi strategik ini adalah membangunkan program adaptasi teknologi berstruktur dengan kerjasama pihak industri, mewujudkan Pusat Sehenti Koperasi secara fizikal dan virtual, menyediakan pembiayaan alternatif seperti platform crowdfunding dan Peer-to-peer (P2P) ataupun koperasi kepada koperasi.
“Tahniah kepada ANGKASA dan rakan strategiknya EXPERIAN Information Services (Malaysia) Sdn. Bhd. kerana berjaya melakar satu lagi pencapaian dengan mewujudkan satu pusat sehenti pelaporan kredit yang komprehensif dan mampan bagi memperkasakan SPeKAR.
“Kerjasama strategik antara ANGKASA dan EXPERIAN ini satu kolaborasi perniagaan terbaik dalam menambah nilai sistem pelaporan kredit bagi membantu menambahbaik penilaian kredit pelanggan.
“Selain itu ia juga akan menjadi Coop’s One Stop Data Centre setaraf dengan fungsi tambahan yang diperkenalkan dalam sistem ini seperti Data Maklumat Kredit Bank, Maklumat Litigasi, Status Muflis, Info Pemilikan Syarikat, Penyenaraian Hitam “Blacklist” Dan Lain-Lain Maklumat Kredit,” katanya.
Ewon berkata, sektor perkhidmatan kewangan telah menyumbang kepada perolehan gerakan koperasi sebanyak RM38 Bilion, bersamaan 84 peratus daripada keseluruhan perolehan gerakan koperasi (statistik Gerakan Koperasi 2022).
“Ini menunjukkan Sektor Perkhidmatan Kewangan adalah peneraju utama sektor perniagaan koperasi,” katanya.
Katanya lagi, kementerian akan terus memainkan peranan dan fungsi sebagai badan yang menyediakan keperluan dari pelbagai sudut seperti dasar, penyeliaan, pemantauan dan khidmat nasihat.
Beliau berkata, ulang tahun ke-10 SPeKAR adalah bukti perjalanan tranformasinya. Bermula sebagai satu penyelesaian semakan kredit secara digital hingga kedudukannya sebagai mercu tanda ketelusan dalam semakan dan pengumpulan data yang lebih efisien.
“SPeKAR secara berterusan mendorong koperasi kredit dan sektor swasta mengimplikasikan penggunaan SPeKAR dalam setiap gerak kerja aktiviti pembiayaan secara khususnya di bawah perlesenan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Oleh itu saya berharap lebih banyak koperasi dan agensi pemberi dana pembiayaan akan menyumbangkan data bagi memperkasakan keupayaan SPeKAR termasuk agensi kerajaan.
“Berdasarkan maklumat tersebut, koperasi dapat membuat proses penyaringan yang lebih komprehensif berdasarkan kemampuan pelanggan,” katanya.