JIM Labuan mantapkan hubungan strategik bersama media

LABUAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Wilayah Persekutuan  Labuan menganjurkan perjumpaan menerusi program bersama media memantapkan lagi hubungan strategik dua hala dengan pengamal media yang ada di Labuan.

Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai berkata, pihaknya  akan terus bekerjasama  bukan sahaja dalam hubungan  menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih tetapi pada waktu yang sama menjadikan pengamal media sebagai mata dan telinga jabatan Imigresen Labuan.

“Kita yakin kerjasama erat  antara JIM Labuan dengan pengamal media akan mampu  memantapkan lagi hubungan strategik  sekaligus dapat membantu menyebarluaskan maklumat  berkaitan peranan Imigresen di mata masyarakat disamping menjadi telinga dan mata kepada jabatan,” katanya pada majlis itu di pejabatnya, pada Rabu lepas.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengarah Imigresen Labuan Abdul Rahman Khalid Abdul Karim dan Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Labuan Bascaco Jabat Anak Gambang.

Pada pertemuan hampir dua jam itu, Raymond turut berkongsi maklumat dengan pengamal media  berkaitan Program Repatriasi Migran yang sedang dilaksanakan  di seluruh negara serta Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang telahpun tamat pada 31 Disember lalu.

“Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang tamat pada 31 Disember lalu bagi memberi peluang kepada majikan untuk memohon pekerja asing tanpa izin yang berada di dalam negara  bagi mengisi keperluan tenaga kerja” katanya.

Selain itu beliau juga turut menjelaskan mengenai status pemegang kad IMM 13 yang ketika ini berjumlah hampir 6,000 orang yang ditempatkan di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Kiansam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan Jainudin Djimin dan Timbalan Pengerusinya Jailani Hassan.

Manakala wakil media yang turut hadir,  ialah wartawan RTM, Asia Times, Sabah News Today (SNT), WilayahKu, See Hua Daily News dan Overseas Chinese Daily News (OCDN).