UMNO Beluran kekal hasrat tanding Parlimen Beluran

BELURAN: UMNO Bahagian Beluran meluluskan usul menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

Ketuanya, Julie Sabran berkata, perkara berkenaan antara yang diusulkan dan kemudian disokong pada mesyuarat perwakilan bahagian itu, baru-baru ini.

Beliau berkata, bahagian itu juga memberi sokongan padu kepada kepemimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti.

Selain itu, katanya, usul yang turut diluluskan adalah kerusi Parlimen Beluran kekal ditandingi UMNO pada PRU-15.

Kerusi berkenaan disandang Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang dimenanginya pada PRU-14 ketika mewakili UMNO sebelum menyertai BERSATU pada Mac 2019.

“Kita mahu kerusi Parlimen Beluran kekal ditandingi UMNO kerana ia kerusi tradisi parti. Kita akan kekalkan, insya-Allah kita akan bertanding pada PRU-15 dan saya yakin serta percaya kerusi ini adalah ‘fix deposit’ kepada Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengesahkan jumlah keahlian UMNO Beluran melebihi 19,000 orang setakat ini, beliau berkata, daerah Beluran memerlukan perubahan kepemimpinan dan transformasi pembangunan.

“Daerah Beluran antara termundur dan termiskin, penduduknya masih dalam keadaan terpinggir. Berdasarkan tinjauan, masyarakat Beluran sangat-sangat mahukan perubahan dan pembangunan.

“Jadi saya yakin dan percaya untuk kepemimpinan baharu yang akan datang, insya-Allah daripada UMNO, kita akan buat transformasi, terutama untuk membangunkan kawasan-kawasan luar bandar di daerah Beluran,” katanya.