SANDAKAN : Mengubah mentaliti penduduk setinggan untuk menerima polisi baharu menjadi antara cabaran bagi pihak Village Support Services Sdn Bhd dalam melaksanakan projek perintis Pengedar Tenaga Bebas (Independent Power Distributor – IPD) di Kampung Forest, di sini.
Sebagai kontraktor dilantik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), pihak syarikat perlu memasang perkakas baharu termasuk tiang elektrik, stesen meter dan melakukan pendawaian di dalam rumah penduduk kampung yang berdaftar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wira Azmi Said berkata, pihaknya juga perlu menyediakan aplikasi sistem prabayar yang mesra pelanggan serta kaunter bayaran setempat bagi memudahkan urusan penduduk.
“Banyak yang kita belajar melalui projek ini. Soalnya sekarang, bukan sistem ini yang menyusahkan, tetapi cabaran mentaliti masyarakat itu sendiri. Komuniti setinggan ada berbeza sedikit sebab itu kita kena didik mereka supaya tahu menggunakan sistem.
“Kedua, mereka perlu mengambil masa untuk menerima polisi kerajaan yang baharu. Sebab itu bagi projek rintis ini kami sudah mulai kaji dan belajar sejak tahun 2017. Bukan mudah mahu mengubah mentaliti mereka untuk menerima benda baharu,” jelasnya.
Beliau ditemui selepas Sesi Taklimat dan Lawatan Tapak Projek ‘Independent Power Distributor (IPD)’ Kampung Forest di sini, bersama Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts Mohd Yaakob Jaafar.
Menerusi projek rintis itu, pihak kontraktor telah memasang panel meter di 27 rumah di setiap jambatan yang masing-masing mempunyai 50 buah meter elektrik.
Setakat ini, sebanyak 458 buah meter telah disambung ke rumah penduduk di kampung itu yang berdaftar dengan Village Support Services Sdn Bhd.
Setiap rumah dikenakan bayaran deposit sebanyak RM300 dan tambahan RM800 bagi pendawaian di dalam rumah.
Manakala, nilai prabayar bagi meter elektrik boleh ditambah mengikut kadar penggunaan bagi setiap rumah.
Tidak berhasrat mahu membebankan penduduk, Azmi berkata pihaknya menyediakan Skim Ansuran bagi pendawaian di dalam rumah yang mana penduduk hanya perlu membayar RM17 sebulan untuk tempoh 4 tahun.
“Secara asasnya, pendawaian ini adalah bagi tiga lampu dan dua soket. Pihak kita sendiri yang buat pendawaian ini atas sebab keselamatan. Semua perkakas digunakan adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga.
“Projek rintis ini mulai menunjukkan maklumbalas yang positif. Kita berharap inisiatif ini dapat dilaksanakan di lebih banyak kawasan setinggan tidak kira di kawasan atas air mahupun di darat,” kata Azmi.