Kilang Kibing jadikan Sabah antara pemain utama industri pembuatan kaca solar di Malaysia

KOTA KINABALU: Pembukaan kilang kaca solar, Sabah Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd bernilai RM3 bilion di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, meletakkan Sabah sebagai antara pemain utama industri pembuatan kaca solar di Malaysia.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata ia berdasarkan keupayaan kilang berkenaan untuk mengeluarkan 440,000 tan metrik kaca solar setahun.

Hajiji mendengar taklimat sambil mengadakan lawatan ke kilang berkenaan. Gambar JKM.

Beliau berkata kejayaan merealisasikan kilang berkenaan untuk bertapak di Sabah didorong keyakinan pelabur terhadap potensi industri itu di negeri ini.

“Dua tahun lalu saya melawat kilang kaca pertama Kumpulan Kibing di Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan dan diberitahu bahawa syarikat itu berminat melabur dalam pembuatan kaca solar di Sabah.

Hajiji mendengar taklimat sambil mengadakan lawatan ke kilang berkenaan. Gambar JKM.

“Hari ini, projek itu menjadi realiti, terima kasih kepada rakan pelabur dari China, Kumpulan Kibing atas keyakinan dan komitmen mereka untuk membawa fasa pertama projek bernilai RM3 bilion ini yang pada hari ini dibuka secara rasmi.

“Dengan kapasiti pengeluaran sehingga 440,000 tan metrik setahun, Sabah kini berada di kedudukan sebagai salah satu pemain utama industri pembuatan kaca solar di Malaysia.

Hajiji mendengar taklimat sambil mengadakan lawatan ke kilang berkenaan. Gambar JKM.

“Ini bermakna, Sabah bersedia untuk memberikan sumbangan yang signifikan kepada sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya pada pelancaran kilang kaca solar Sabah Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd di KKIP, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Kumpulan Kibing Yu Qi Bing.

Hajiji mendengar taklimat sambil mengadakan lawatan ke kilang berkenaan. Gambar JKM.

Hajiji berkata, pencapaian itu bukan saja menjanjikan pertumbuhan ekonomi kepada Sabah, malah turut menggariskan komitmen kerajaan negeri ke arah teknologi hijau dan mampan.

Jelasnya, pembukaan kilang berkenaan turut mewujudkan peluang pekerjaan dengan 1,100 atau lebih 80 peratus daripada 1,300 pekerjanya adalah dalam kalangan rakyat Sabah.

Beliau juga optimis Kumpulan Kibing akan terus maju dan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang negeri ini.

Bagi kerajaan Sabah, Hajiji berkata pihaknya kekal komited untuk mengalu-alukan kedatangan pelabur seperti Kumpulan Kibing dan mengakui peranan yang tidak ternilai mereka dalam pertumbuhan ekonomi serta pembangunan di Sabah.

“Kerajaan Sabah akan terus mengamalkan pendekatan mesra pelabur dan komited untuk mempercepatkan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut menyifatkan pembukaan kilang kaca solar Kumpulan Kibing itu sebagai testimoni terhadap kejayaan pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).