SANDAKAN : Lebih jimat dan mudah, antara luahan penduduk Kampung Forest di sini susulan pelaksanaan projek perintis Pengedar Tenaga Bebas (Independent Power Distributor – IPD) sejak awal bulan September lalu.
Menerusi projek itu, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menerusi kontraktor dilantik iaitu Village Support Services Sdn Bhd membekalkan bekalan elektrik secara prabayar kepada penduduk berdaftar.
Rata-rata penduduk yang ditemui memberitahu mereka mampu menjimatkan sehingga 40 peratus bayaran bil elektrik bulanan berbanding sistem yang digunapakai selama ini.
Sakkam Saddail, 59, berkata sebelum ini bayaran bil elektrik rumahnya kebiasaan mencecah RM350 sebulan, tetapi kini dapat dikurangkan kepada RM200.
Penggunaan elektrik bulanan rumahnya sememangnya tinggi berikutan beliau tinggal bersama 16 ahli keluarganya yang masing-masing menggunakan banyak barang elektrik terutama lampu, kipas dan peti sejuk.
Katanya, penjimatan tersebut sangat membantu keluarganya lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi pada ketika ini yang semakin mencabar.
“Sebelum ini, penduduk kampung akan membayar bil elektrik yang sudah ditetapkan mengikut pepasangan yang ada di rumah masing-masing. Sebagai contoh, sebiji lampu dikira RM10, kipas (RM15), mesin basuh (RM40), peti sejuk (RM40), peti sejuk beku (RM70) dan sebagainya.
“Jumlah bil bulanan sudah tetap tidak kira barang elektrik itu kerap diguna atau tidak. Ini sangat berbeza dengan sistem IPD sekarang kerana kami sendiri boleh memeriksa kekerapan penggunaan dan boleh tahu berapa baki prabayar. Dari situ, kami sendiri boleh kawal penggunaan elektrik harian,” katanya kepada Sabah News Today.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Patang Enghisan, 73, pada awalnya bimbang beliau akan keliru dan tidak mahir sekiranya perlu berurusan secara atas talian.
Namun, beliau bersyukur kerana pihak kontraktor menyediakan khidmat secara atas talian dan juga secara manual sekaligus memberi pilihan kepada penduduk kampung.
“Saya tinggal di sini seorang diri dan tidak berapa mahir dengan urusan yang perlu dibuat secara atas talian. Tetapi pihak kontaktor faham dengan situasi ini, oleh itu mereka sediakan satu pejabat mini untuk memudahkan penduduk yang mahu menambah prabayar secara manual,” jelasnya.
Berniaga kedai runcit secara kecil-kecilan di rumahnya, setakat ini beliau berpuas hati dengan pelaksanaan sistem IPD kerana penduduk bukan sahaja dapat menjimatkan bayaran bil, malah kualiti elektrik juga lebih baik berbanding sebelum ini.