Tun Musa, Hajiji sertai 7,000 jemaah solat Aidilfitri di Masjid Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hari ini menunaikan Solat Sunat Aidilfitri bersama kira-kira 7,000 jemaah di Masjid Negeri Sabah.

Tun Musa dilaporkan tiba sekitar jam 7.15 pagi sebelum disambut Hajiji serta barisan kepimpinan negeri.

Solat Aidilfitri diimamkan Pegawai Agama Istana Seri Kinabalu, Ustaz Zulfauzy Awang Besar, diikuti khutbah bertajuk “Ibrah Ramadan: Jalan Menuju Ketaatan Berterusan” yang disampaikan Mufti Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar.

Khutbah tersebut antara lain menekankan kepentingan meneruskan amalan baik yang dipupuk sepanjang Ramadan, termasuk memperkukuh ibadah, membantu golongan memerlukan serta mengekalkan perpaduan dalam masyarakat.

Selepas solat, kedua-dua pemimpin meluangkan masa beramah mesra dengan jemaah sebelum beredar sekitar jam 9.10 pagi.

Turut hadir beberapa anggota Kabinet negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri II, Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Nizam Abu Bakar Titingan; serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dr Mohd Arifin Mohd Arif.