KOTA KINABALU: Nasib seorang ibu tunggal dari suku kaum Bajau Samah yang sebelum ini tinggal di sebuah bekas reban ayam bersama tiga anaknya mendapat perhatian selepas dibantu memperoleh pekerjaan tetap.
Rohana, 27, ditinggalkan suaminya sejak 2023 dan terpaksa membesarkan tiga anak berusia 10, 6 dan 3 tahun seorang diri tanpa sumber pendapatan tetap.
Sebelum ini, Rohana hanya mengambil upah mencuci rumah dan pakaian dengan pendapatan sekitar RM300 sebulan, tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian keluarga.
Lebih menyedihkan, anak bongsunya tidak pernah menikmati susu formula sejak lahir kerana kekangan kewangan, sebaliknya hanya diberikan susu sejat manis yang dibancuh.
Mereka sekeluarga tinggal dalam sebuah struktur bekas reban ayam yang diubah suai sebagai tempat berteduh, tanpa kemudahan asas termasuk tandas.
Bagaimanapun, kehidupan Rohana berubah selepas menerima bantuan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud mendapatkan pekerjaan di sebuah premis mini mart di ibu kota dengan gaji RM1,700 sebulan.
Menurutnya, bantuan itu membolehkan beliau menyediakan keperluan asas termasuk makanan dan susu formula untuk anak-anaknya.
“Walaupun berdepan kesukaran hidup, Rohana tetap memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan dan didikan agama,” jelas Mustapha dalam kenyataan hari ini.
Kisah Rohana mencerminkan realiti kehidupan segelintir rakyat yang masih memerlukan perhatian dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak.
