Toh Puan Rahimah wanita ikonik Sabah

KOTA  KINABALU: Allahyarham Toh Puan Rahimah Stephens merupakan pemimpin wanita ikonik dan disegani pada eranya sehingga hari ini.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew menyifatkan karisma Toh Puan Rahimah sebagai sumber inspirasi kepada aspirasi politik wanita 70an dan 80an untuk mengikuti jejaknya.

“Terkenal dengan hasratnya untuk meningkatkan taraf hidup wanita, pelantikannya yang tidak pernah berlaku sebelum ini sebagai Menteri Khidmat Masyarakat dan Perpaduan Negara pada 1976 mengubah landskap politik wanita di Sabah. Langkah bersejarah itu menandakan kebangkitan kesedaran politik dalam komuniti wanita.

“Lebih penting, ia sentiasa membuka laluan kepada perwakilan politik wanita Sabah dalam Dewan Undangan Negeri dan Kabinet Negeri mulai era 80an dan seterusnya.

“Anak-anak muda kini mungkin tidak sedar bahawa Kolnah Ghani (ketika itu jururawat kesihatan luar bandar di Kinabatangan) dilantik sebagai Adun Dilantik bagi membolehkan beliau menjadi Pembantu Menteri kepada Toh Puan Rahimah.

“Pada masa yang sama, Leong Pau Chu (kini Datuk) iaitu seorang guru di Tenom dipilih sendiri untuk menjadi Setiausaha Politik kepada Toh Puan Rahimah,” ujar Christina sambil mengucapkan takziah buat keluarga Toh Puan Rahimah.

Ahli Parlimen Tawau itu menambah, generasi wanita masa kini dan akan datang harus mengetahui sejarah politik di negeri ini untuk pengetahuan mereka.

“Ini kerana adanya seorang wanita sebagai setiausaha politik atau ahli dewan undangan negeri dicalonkan, apatah lagi seorang menteri wanita, tidak pernah didengar pada era 60an, walaupun selepas pilihan raya pertama negeri pada 1967,” kata Christina.