KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyatakan pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu entiti politik akan lebih bermakna jika ia disertai oleh parti-parti politik tempatan Sabah.
Ewon berkata, kelulusan pendaftaran GRS hanya merupakan jenama baru kepada politik lama di Sabah sekiranya masih diterajui atau disertai oleh parti-parti politik dari Semenanjung iaitu Bersatu, Umno, PAS, MCA dan sebagainya.
“Selagi teraju utama GRS masih ber-presidenkan parti dari Semenanjung Malaysia dan kepimpinan tertinggi parti masih dipengaruhi dasar-dasar kepimpinan Malaya (Semenanjung Malaysia), ianya tidak akan memberi kelebihan kepada harapan dan tuntutan politik rakyat Sabah.
“Saya maklum dengan pandangan ahli-ahli akar umbi dan rakyat Sabah tentang penyertaan Upko dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah yang juga merupakan gabungan di peringkat nasional dan kepimpinan negeri diterajui oleh parti dari Semenanjung.
“Dalam konteks ini, PH Sabah tidak ada banyak beza dengan GRS atau Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). Bezanya mungkin jika kepimpinan PH Sabah itu diberikan kepada parti tempatan Sabah,” kata Ewon.
Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan demikian semasa perjumpaan dengan kepimpinan akar umbi parti tersebut di Mukim Kelawat dan Kinasaraban di sini, semalam.
Ewon menyatakan, sebagai pemimpin parti, beliau perlu akur dengan kehendak dan aspirasi rakyat dan juga ahli-ahli parti.
“Selama ini, saya sentiasa berpegang kepada prinsip bottom up, iaitu pandangan akar umbi harus memandu halatuju kepimpinan. Sebagai Naib Presiden UPKO, saya ambil maklum kemahuan sebahagian besar rakyat Sabah yang mahukan gabungan politik mewakili parti-parti tempatan.
“Jika kita mahu menuntut pelaksanaan berkesan Perjanjian Malaysia 1963, menolak tuntutan Filipina dan pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu dan mengurus pembangunan rakyat dan negeri Sabah, sebaik-baiknya kita dapat membina gabungan politik parti-parti tempatan Sabah.
“Saya boleh mengadakan referendum Upko jika GRS didaftarkan hanya mencakupi parti-parti tempatan Sabah, tetapi jika masih diterajui dan dianggotai oleh parti-parti dari Semenanjung, maka tidak berbeza daripada gabungan politik yang sedia ada,” kata Ewon.