LAHAD DATU: Pasukan keselamatan negara wajar mengambil langkah berjaga-jaga berhubung laporan anggota puak pemisah dari selatan Filipina bakal menyerang Sabah.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, langkah ini harus diberikan keutamaan dengan meletakkan harapan, anggota tentera dan polis di kawasan yang sudah dikenalpasti.
Katanya, perkara ini tidak harus dipandang remeh berikutan laporan tersebut walaupun ia hanya bersifat spekulasi media luar negara, sebaliknya perlu meningkatkan operasi di kawasan perairan Sabah.
“Kita harus mengambil iktibar rentetan peristiwa pencerobohan 9 Februari 2013 lalu, di mana pasukan keselamatan tidak menyedari kehadiran bot pancung merentasi perairan Sabah membawa lebih 149 anggota kumpulan militan mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
“Kehadiran pasukan penceroboh hanya dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam yang kemudiannya membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pembukaan rasmi Lahad Datu Sental di First Plam City, di sini hari ini.
Majlis pembukaan itu dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri. Datuk Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut berkata, beliau mengingatkan semua pihak termasuk Kementerian Pertahanan, bahawa isu berkenaan merupakan satu isyarat menunjukan puak militan negara jiran mempunyai niat tersirat ke atas Sabah.
“Isu pencerobohan itu tidak mustahil akan berlaku bila-bila masa memandangkan kumpulan itu pernah membolosi perairan negeri ini dalam misi mereka sembilan tahun lalu.
“Sama ada laporan itu benar atau tidak pasukan keselamatan perlu menjalankan gerakkan terutama di perairan bandar utama di pesisir pantai seperti Lahad Datu, Tawau, Sandakan, Semporna dan Kudat,” katanya.
Masiung mengingatkan nelayan serta orang ramai yang mungkin terserempak dengan kumpulan yang mencurigakan agar segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.