Kerajaan GRS berusaha realisasi projek, inisiatif tingkat kemudahan rakyat Sabah

LAHAD DATU: Kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berusaha merealisasikan pelbagai projek dan inisiatif bagi meningkatkan kemudahan untuk rakyat.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata ketika ini, kerajaan melipatgandakan usaha membangunkan infrastruktur asas dan kemudahan sokongan termasuk pengangkutan awam yang memberi keselesaan kepada rakyat Sabah.

“Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dapat menambah baik sistem jalan raya berbanding sebelum ini sekali gus dapat mengintegrasikan kegiatan pelaburan dan mempercepat pertumbuhan sosioekonomi di Sabah.

“Bahkan Lebuhraya Pan Borneo ini akan mewujudkan rangkaian jalan raya menghubungkan Sarawak,  Brunei,  Sabah dan Kalimantan di Indonesia yang memberi manfaat ekonomi,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun ketika merasmikan terminal bas dan teksi First Palm City Centre (FPCC) di sini hari ini.

Hajiji juga berkata kewujudan terminal baharu itu, yang dikenali sebagai Lahad Datu Sentral, adalah selari dengan teras utama pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

“Kedudukan Lahad Datu yang terletak di antara laluan yang menghubungkan Tawau, Kunak dan Sandakan menjadikan terminal ini adalah hab pengangkutan di sini.

“Pembangunan ini membuktikan jaringan infrastruktur di Lahad Datu kini sudah ke arah lebih mapan kerana dahulunya daerah ini tidak mempunyai pusat perhentian bas tetapi kini sudah mempunyai hab pengangkutan, ” katanya.

Beliau berkata kemudahan yang disediakan kerajaan itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk setempat malah pelancong boleh menggunakan perkhidmatan tersebut untuk ke destinasi pelancongan di Lahad Datu.

Pembinaan terminal itu adalah dengan kerjasama Lembaga Pembangunan dan Perumahan Bandar Sabah serta pemaju FPCC iaitu Titijaya Land Berhad di tanah seluas 58.8 ekar yang turut membabitkan pembinaan bangunan komersial.

– BERNAMA