ATM pertingkat kesiap-siagaan, keselamatan pantai timur Sabah – Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mempertingkatkan kesiap-siagaan dan tahap keselamatan di pantai timur Sabah susulan laporan media asing yang mendakwa akan berlaku pencerobohan oleh pihak dari Filipina ke Negeri Di Bawah Bayu itu.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata arahan itu dikeluarkan kepada ketiga-tiga perkhidmatan ATM melalui Panglima Medan Timur Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Panglima Armada Timur (TLDM) Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dan Panglima Wilayah Udara 2 (TUDM) Mej Jen Datuk Shamsudin Kassim.

Beliau berkata melalui pelaksanaan operasi dan perisikan pihak ATM setakat ini mendapati tiada petunjuk atau bukti kukuh berhubung laporan berkenaan.

“Seperti yang ditegaskan oleh Panglima ATM (Jen Tan Sri Affendi Buang) dan Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) tindakan segera akan diambil bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah.

“Agensi perisikan dan keselamatan kita juga telah mengambil maklum tentang perkara yang dilaporkan dan sedang dalam proses verifikasi dengan agensi-agensi sejawat mereka di Filipina dan serantau seperti yang dinyatakan KPN dan Komander ESSCOM semalam,” katanya pada sidang media pasca Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari di Wisma Perwira ATM, di sini semalam.

Hishammudidn berkata kementerian dan ATM sememangnya memberi perhatian terhadap laporan berkenaan.

Sebarang ancaman, sama ada boleh dipercayai atau tidak ia mesti disahkan secara bebas dan dianggap serius. Saya menggesa rakyat di Sabah supaya tidak berasa bimbang dengan ancaman itu kerana ATM sentiasa memantau perkembangan itu dari semasa ke semasa.

“Apa jua maklumat orang ramai yang boleh membantu kita sama ada mengesahkan apa yang dilaporkan itu akan kita terima dan akan kaji secara menyeluruh,” katanya.

Hishammuddin berkata inisiatif Perjanjian Kerjasama Tiga Hala (TCA) yang melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina, dapat memastikan Laut Sulu dan Sulawesi, laluan perairan antara Sabah dan Selatan Filipina sentiasa selamat.

– BERNAMA