Tindakan tegas terhadap syarikat atau pemilik kolam ternakan lupus sisa bahan kimia secara haram – Nizam

TAWAU : Tindakan tegas perlu dikenakan kepada syarikat atau pemilik kolam ternakan yang melupuskan sisa bahan kimia secara sewenang-wenangnya.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pihak berkaitan khususnya Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan notis sama ada saman atau teguran yang keras terhadap syarikat atau pemilik kolam melupuskan sisa bahan kimia sewenang-wenangnya.

Tindakan tegas terhadap syarikat atau pemilik kolam ternakan lupus sisa bahan kimia secara haram.

“Pemilik kolam ternakan tidak boleh sewenang-wenangnya membuang atau menanam sisa bahan kimia yang berbahaya.

“Ini kerana pelupusan bahan kimia berbahaya hanya boleh dibuat selepas mendapat khidmat nasihat daripada jabatan atau agensi terlibat yang mempunyai peraturan atau solusi berkaitan,” katanya selepas meninjau kawaan letupan tangki klorin di sebuah syarikat penternakan udang di Wakuba, semalam.

Dalam kejadian pada 29 November lalu, insiden letupan berkenaan telah menyebabkan enam pekerja dimasukkan ke hospital.

Dalam tinjauan itu, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas turut disertai oleh agensi berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau dan Jabatan Alam Sekitar serta syarikat kolam penternakan udang.

Tindakan tegas terhadap syarikat atau pemilik kolam ternakan lupus sisa bahan kimia secara haram.

Mereka mengadakan perbincangan bagi mengenalpasti dan membincangkan kaedah serta cara yang patut diambil mulai sekarang bagi mengelak perkara seumpama daripada berulang.

Ketika ini, kawasan yang terdedah telahpun ditutup bagi sebarang kemasukan dan aktiviti sehingga ia dikenalpasti selamat.

Hadir sama, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Apas M. Azirian Syah Ali dan pemimpin setempat di Wakuba.