PKP ESS Zone bantu ubah persepsi masyarakat luar dan pelancong asing

SEMPORNA : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mengalu-alukan usaha kerajaan menjenamakan semula terma Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) Sabah sejak 18 Oktober lepas.

Komander Eastern Command, DCP Datuk Victor Sanjos berkata terma sebelum ini didengari agak keras serta menakutkan berbanding terma semasa yang lebih lembut serta banyak membantu mengubah persepsi masyarakat luar dan pelancong asing untuk mengunjungi pusat-pusat pelancongan di ESS Zone.

“Saya memahami kegusaran dan kekeliruan yang timbul khususnya dalam kalangan masyarakat luar dan pelancong asing berhubung terma PKP ESS Zone Sabah yang sebelum ini dikenali sebagai Perintah Berkurung dan kerap disalah tafsir turut dikuatkuasakan di daratan sedangkan ia hanya berkuat kuasa di perairan.

“Justeru, saya ingin mengambil ruang ini untuk membetulkan persepsi pihak luar terhadap pengoperasian PKP ESS Zone Sabah yang dikuatkuasakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan perairan yang melebihi jarak tiga batu nautika (5.556 kilometer) ke atas atau membawa ke persempadanan antarabangsa dari pukul 6 petang hingga 6 pagi.

“Oleh itu, saya memohon agar pihak media dan masyarakat tempatan dapat membantu ESSCOM dan PDRM membetulkan kekeliruan yang timbul agar sektor pelaburan asing dan industri pelancongan di ESS Zone dapat ditingkatkan lagi sekaligus membantu mensejahterakan ekonomi masyarakat di kawasan terlibat,” katanya dalam sidang media di Semporna.

Victor turut menzahirkan penghargaan di atas kejayaan ESSCOM, PDRM, ATM dan APMM di ESS Zone dalam mengekalkan rekod sifar insiden penculikan sejak 15 Januari 2020.

“Sejak tahun 2000 hingga 2020, sebanyak 25 kes kejadian penculikan berlaku di ESS Zone. Namun trend penculikan tersebut telah mulai berubah saban tahun apabila ESSCOM mula mengkoordinasikan Operasi SANGGAH dan pelbagai operasi khas bersama pasukan keselamatan di ESS Zone.

“Hasil daripada usaha berterusan tersebut, kita telah berjaya menumpaskan sel-sel Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan Kumpulan Kidnap For Ransom (KFRG) dengan menembak mati 17 orang dan menangkap lagi 23 orang.

“Selain itu, sebanyak 16 kes cubaan penculikan juga telah berjaya dipatahkan pihak berkuasa sejak 10 tahun yang lepas,” tambah Victor lagi.

Menurut beliau, dalam masa yang sama keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di ESS Zone turut kekal terjamin melalui operasi keselamatan secara bersepadu yang dilaksanakan dari semasa ke semasa pada tahun ini.

“Bermula 1 Januari hingga 11 November lepas, ESSCOM telah berjaya mengkoordinasi lebih 2.2 juta pemeriksaan fizikal terhadap individu, kenderaan dan bot. Daripada jumlah pemeriksaan itu, seramai 512 orang ditahan dan 150 buah kenderaan serta bot dirampas oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan.

“Di samping itu, seramai 215 PATI telah diusir meliputi jumlah 88 buah kapal/ bot dari sempadan negara. Jumlah keseluruhan nilai rampasan untuk tempoh yang sama juga melebihi RM17.5 juta dan nilai rampasan tertinggi daripada penyeludupan rokok dan barang kawalan dengan nilai RM14.3 juta.

“Selain itu, nilai rampasan dadah dan barang milik PATI masing-masing menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM3.3 juta,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Negara dalam kenyataan media pada 16 Oktober lepas dipetik sebagai berkata Perintah Berkurung Sabah yang tamat pada 17 Oktober 2023 telah dilanjutkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan ESS Zone Sabah.

Perintah Berkurung di ESS Zone diisytiharkan mulai 19 Julai 2014 dan tamat pada siri ke-220 pada 17 Oktober lepas.

Ia merupakan satu mekanisme pemantauan dan kawalan oleh pasukan keselamatan iaitu PDRM, APMM dan ATM terhadap pergerakan bot atau kapal yang digunakan oleh penduduk setempat, pelaut, pelancong dan komuniti maritim (nelayan laut dalam khasnya) di laut atau perairan Wilayah Sabah yang berlandaskan kepada Akta Polis 1967.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali dan Timbalan Komander Eastern Command Brig Jen Ts. Roslan Mat Saad.