UMS agih geran dana RM26,000 bantu perkukuh jaringan alumni

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Alumni mengagihkan sumbangan Geran Dana Alumni sebanyak RM26,000 bagi mengembangkan aktiviti-aktiviti alumni di peringkat universiti.

Penyerahan geran dana tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dalam satu majlis ringkas, baru-baru ini.

Pada majlis penyerahan tersebut, Raman menyarankan agar lebih banyak program-program berkaitan alumni UMS dapat dianjurkan bagi meningkatkan sinergi di antara alumni dan alma mater.

“Daripada jumlah geran yang diperuntukkan sebanyak RM26,000, setiap fakulti menerima RM2,000.

“Ini diharapkan dapat memperkasakan hubungan alumni dan alma mater sepertimana yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya.

Beliau juga berharap agar pihak fakulti dapat mempergiatkan aktiviti berkaitan alumni bagi memastikan hubungan dengan alumni UMS terus terjalin erat.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Pusat Alumni UMS Dr. Arif Kamisan Pusiran.