Tindakan Tegas Kepada Peniaga Beri Lesen Kepada Warga Asing – Hajiji

TUARAN: Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang memberikan lesen perniagaan mereka untuk digunakan oleh pihak lain, terutama warga asing di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tindakan tegas juga akan diambil terhadap pegawai yang terlibat dalam pemberian lesen perniagaan kepada pihak tidak sepatutnya.

Katanya, ini kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai peraturan yang telah ditetapkan dalam mengeluarkan lesen tersebut.

“PBT ada peraturan, kalau peraturan itu menyatakan demikian kena ikut, kalau mahu berniaga mesti ikut peraturan dan jumpa PBT.

“Kita akan pantau aktiviti pemberian lesen perniagaan kepada warga asing ini. Jika terbukti wujud kita akan ambil tindakan tegas kepada peniaga serta pegawai tang terlibat,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), akan menarik balik lesen perniagaan penjaja yang memberikan lesen berkenaan kepada pihak lain, termasuk warga asing.

Perdana Menteri berkata pihaknya bersama DBKL sedang merangka kaedah bagi memastikan peraturan tersebut dipatuhi.