Tindakan berani 6 pemuda elak tragedi, Hajiji hadiah motosikal baharu

TENOM: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersetuju menyumbangkan motosikal baharu kepada enam pemuda yang motosikal troli mereka rosak selepas digunakan untuk membantu memperlahankan kereta api yang mengalami kegagalan brek di Kampung Pangi, di sini, awal pagi kelmarin.

Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim yang menghubunginya semalam.

Menurutnya, sumbangan itu sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian enam anak muda terbabit yang bertindak pantas meletakkan motosikal troli di atas landasan bagi membantu memperlahankan kereta api berkenaan.

“Jika tiada enam motosikal troli itu di landasan, kemungkinan bencana lebih besar boleh berlaku kerana kereta api berkenaan bergerak laju dan sukar dikawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut bersama ketenangan pemandu kereta api yang tidak panik berjaya membantu mengawal keadaan sehingga insiden itu tidak mengakibatkan kejadian lebih buruk.

Dalam pada itu, Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada enam pemuda berkenaan yang disifatkannya sebagai wira tidak didendang dalam kejadian tersebut.

Beliau juga memberi kata semangat kepada guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi agar terus tabah dan tidak berputus asa dalam mendidik anak bangsa di kawasan pedalaman.