Borneo Bloc bukan untuk kuasa politik, tetapi imbangi Persekutuan

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan cadangan pembentukan Borneo Bloc tidak bertujuan memperkukuh dominasi politik Sabah dan Sarawak di peringkat Persekutuan.

Sebaliknya, menurut beliau, cadangan itu merupakan langkah politik yang sah untuk menyelaraskan suara kedua-dua wilayah dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Borneo di Parlimen.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa Sabah dan Sarawak menggunakan cadangan Borneo Bloc bagi memperkukuh kawalan politik di peringkat Persekutuan.

Nizam berkata, kerjasama antara wilayah bagi memperkukuh kedudukan rundingan adalah perkara lazim dalam sistem persekutuan yang sihat.

Beliau turut menegaskan bahawa asas pembentukan Malaysia pada 1963 berteraskan prinsip perkongsian wilayah yang dipersetujui melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perkara seperti kuasa imigresen, hasil petroleum serta tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan merupakan komitmen asal yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia,” katanya.

Menurutnya lagi, cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu dilihat dari sudut representasi yang lebih seimbang mengambil kira keluasan wilayah serta cabaran pembangunan di Borneo.