Tiga Bulan Masa Diambil, Selesaikan Kelulusan Tanah Rizab Kampung Iban Merotai, Tawau – Liew

TAWAU : Pengistiharan tanah Rizab untuk tapak perkampungan Kampung Iban Merotai bukan janji politik sebaliknya ia diluluskan sebelum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, kerajaan tidak pernah berjanji kosong malah sudah membuktikan penantian selama 50 tahun penduduk kampung ini berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat.

Liew ketika berucap di majlis tersebut.

Katanya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor komited sekali gus berusaha memastikan rakyat dapat memiliki tanah mereka secara sah.

“Kita hanya mengambil masa  kurang tiga bulan…Semuanya selesai sudah sekali gus kelulusan mewartakan tanah di Kampung Iban ini dapat dikeluarkan diagihkan kepada penduduk kampung.

“Kelulusan tanah di Kampung Iban ini merupakan harta pusaka yang boleh diwariskan secara turun temurun kepada anak cucu kita pada masa depan,” katanya.

Liew ketika menerima cendera kenangan selepas merasmikan majlis tersebut.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Hari Gawai (Ngiling Bidai), di Balai Raya Kampung Iban Merotai Besar, di sini semalam.

Liew berkata, sebagai tanda penghargaan semua penduduk Kampung Iban ini perlu memberikan sokongan padu kepada kerajaan pada PRN akan datang.

“Sejak kecil lahir di Merotai sehingga saya pernah menjadi Wakil Rakyat, tidak pernah saya mendengar orang Iban menentang kerajaan.

“Orang Iban sentiasa menyokong kerajaan sebagai contoh seperti Negeri Sarawak sehingga negeri ini maju jaya…Inilah sikap utama orang Iban,” jelas Liew.

Liew bersama ketua masyarakat Iban Merotai dalam upacara tradisi mereka.

Menurutnya, oleh itu beliau meminta penduduk kampung jangan mendengar fitnah kononnya ‘Kelulusan tanah Rizab untuk tapak perkampungan Kampung Iban Merotai Besar’ adalah gula-gula menjelang PRN Sabah.

“Tanah yang sudah diluluskan ini merupakan hak selama-lamanya kepunyaan penduduk Kampung Iban, kamu tidak perlu risau lagi.

“Jika saya diberikan peluang, balai raya ini kita akan naik taraf sebagai Dewan Serbaguna untuk menampung aktiviti masyarakat di kampung ini,” katanya.