“Kami Nyatakan Prinsip, Bukan Merayu,” Kata Christoper

KOTA KINABALU : Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr. Christoper Mandut membalas kenyataan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dengan menyifatkannya sebagai “defensif, pahit dan penuh dengan percanggahan”.

Beliau menegaskan, PBS tidak pernah mendakwa menerima tawaran rasmi daripada Barisan Nasional (BN), sebaliknya hanya menyatakan pendirian jelas bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan BN pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang.

“Isu sama ada jemputan dibuat atau tidak bukan perkara utama. Kami hanya menyatakan pendirian, dan itu adalah hak demokrasi kami — bukan berkhayal. Itu namanya prinsip,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Christoper berkata, jika PBS benar-benar tidak signifikan, tidak ada keperluan untuk Umno Sabah mengeluarkan kenyataan media penuh hanya untuk menyerang parti itu.

“Percanggahan itu jelas menunjukkan segalanya. Kita lihat  nada Bung Moktar lebih mencerminkan rasa tidak yakin daripada keyakinan politik sebenar,” jelasnya.

Menurutnya, beliau menegaskan PBS, sebagai antara parti politik tertua dan paling berpengaruh di Sabah, kekal komited dalam perjuangan asasnya – mempertahankan hak Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kami ada rekod politik yang jelas dan terus mendapat sokongan merentasi generasi rakyat Sabah.

“Tidak seperti sesetengah pihak, kami tidak perlu menjatuhkan orang lain untuk kekal relevan,” katanya.

Menjawab tuduhan bahawa PBS telah “lompat gabungan” dan “mengkhianati sekutu”,  Christoper membalikkan sorotan kepada sejarah penyusunan semula politik Umno sendiri, sambil menggesa Bung supaya menilai semula sejarah partinya.

“Politik bukan sesuatu yang statik. Parti bergerak mengikut keperluan rakyat yang diwakilinya.

“Yang penting ialah keputusan itu dibuat demi kepentingan rakyat — bukan kerana cita-cita peribadi,” katanya.