TUARAN : Kerajaan Negeri merupakan sebuah kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelbagai projek pembangunan dan bantuan telah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, di kawasan Sulaman, banyak projek pembangunan telah disiapkan termasuk pembinaan Rumah Mesra SMJ, naik taraf jalan raya, jambatan serta jeti, dan lebih banyak lagi sedang dalam perancangan.
“Insya-Allah, sekiranya Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus diberi mandat untuk mentadbir negeri ini, lebih banyak projek seperti jambatan konkrit Labuaya di sini akan dilaksanakan,” katanya.
Hajiji turut menyeru masyarakat Suang Lotud agar terus bersatu padu.
“Kita mesti kekal bersatu untuk memastikan masa depan masyarakat lebih cerah.
“Saya mahu masyarakat Dusun Suang Lotud di Tuaran ini menjadi satu komuniti yang hebat dan tidak ketinggalan,” katanya.
Hajiji merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, untuk menjadi satu kaum yang hebat, masyarakat Dusun Suang Lotud perlu mengamalkan pemikiran yang positif.
“Dengan cara itu, saya yakin penuh bahawa masyarakat Dusun Suang Lotud boleh setaraf dengan kaum-kaum lain di Sabah,” katanya.
Menurutnya, komuniti itu juga perlu memastikan budaya dan tradisi mereka terus dipelihara untuk generasi akan datang.