Berjaya atau tidak semakan kehakiman – Nasib Peter Anthony diketahui 9 Julai ini

KOTA KINABALU : Nasib bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony sama ada berjaya dalam permohonan semakan terhadap keputusan

Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tuduhan memalsukan dokumen akan diketahui pada 9 Julai ini.

Menurut laporan BERNAMA sebelum ini,  Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dipetik sebagai berkata bahawa l tarikh tersebut ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Harun secara dalam talian yang diadakan pada 16 Mei lepas.

Prosiding itu turut disertai TPR Haresh Prakash Somiah dan peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Peter.

Pada 4 Mac lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan akhirnya menyebabkan Adun Melalap itu perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun yang dikenakan terhadapnya.

Pada 26 Mei 2022, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhi hukuman penjara tersebut dan denda RM50,000 selepas Peter didapati bersalah memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).Peter telah membayar denda tersebut.