Pemuda GRS kecam PPGS, gesa henti fitnah terhadap Hajiji – Mohd Sharil

KOTA KINABALU : Kenyataan Persatuan Pengusaha Galian Sabah (PPGS) yang disifatkannya sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik apabila cuba mengaitkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dengan skandal rasuah.

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Beaufort, Mohd. Shahril Osin berkata, tuduhan terbuka dilemparkan PPGS terhadap Ketua Menteri berkaitan isu pengurusan sumber mineral negeri, merupakan cubaan jahat untuk menjatuhkan reputasi pemimpin tertinggi negeri tanpa sebarang bukti sah yang boleh diterima di sisi undang-undang.

“Saya menolak sekeras-kerasnya percubaan mana-mana pihak untuk menyeret nama baik Ketua Menteri ke dalam skandal ini.

“Setakat ini, tiada sebarang bukti konkrit yang menunjukkan penglibatan beliau dalam isu yang sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Mohd Shahril menegaskan, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak berasas malah bermotifkan “pembunuhan karakter (character assassination) terhadap Ketua Menteri, yang selama ini komited menjalankan tanggungjawab memimpin negeri secara telus dan bertanggungjawab.

“Tuduhan seperti ini adalah cubaan membangkitkan sentimen kebencian rakyat. Ia juga boleh menghakis keyakinan pelabur luar terhadap kestabilan politik dan tadbir urus Sabah,” tegas beliau.

Shahril merupakan Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Klias, turut mempersoalkan kecenderungan dan kewajaran PPGS membuat kenyataan bersifat politik daripada memperjuangkan nasib pengusaha galian di negeri ini.

“PPGS seharusnya menjadi suara industri, bukan alat kepada pihak tertentu untuk menyerang kerajaan. Mereka harus berhenti bermain politik murahan dan kembali kepada objektif asal penubuhan persatuan,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan yang dibuat berdasarkan pendedahan seorang pemberi maklumat tanpa pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa tidak wajar dijadikan asas untuk mencemarkan nama baik pemimpin negeri.

“Kita serahkan kepada SPRM dan Pejabat Peguam Negara untuk menilai bukti-bukti yang dikemukakan. Kita tidak boleh mengadili seseorang berdasarkan andaian atau desakan luar,” tambahnya.

Shahril turut mengingatkan bahawa prinsip keadilan mengkehendaki seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah.

Beliau menegaskan, apa yang lebih penting pada masa ini adalah memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negeri kekal utuh demi kepentingan rakyat Sabah.

“Kita tidak boleh biarkan tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab merosakkan fokus kerajaan dalam membangunkan negeri. Fitnah seperti ini hanya melemahkan usaha kita untuk membawa Sabah terus maju dan makmur ke hadapan,” katanya.