ADUN Dilantik Bantu Guru Terjejas Di Tepi Jalan

SANDAKAN : Keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam terserlah apabila beliau tampil menghulurkan bantuan kepada sekumpulan guru dari Tuaran yang terkandas di tepi jalan berhampiran Simpang Sapi Nangoh, petang kelmarin.

Kejadian berlaku ketika van yang membawa rombongan guru berkenaan mengalami masalah tayar bocor dalam perjalanan menuju ke Sandakan dan ketika itu, cuaca juga tidak menentu.

Jaffari berkata, beliau dan pasukannya kebetulan melalui lokasi itu sebelum menyedari kewujudan van terbabit yang berhenti dalam keadaan cuaca tidak menentu.

“Kami terlihat sebuah van di tepi jalan dan apabila mendekati, dimaklumkan tayarnya bocor.

“Memandangkan ketika itu cuaca juga tidak begitu baik, kami tidak teragak-agak untuk berhenti dan membantu,” katanya

Tindakan pantas beliau turut dibantu seorang pemandu lori yang kebetulan berada di lokasi dan secara sukarela menghulurkan bantuan.

“Saya berterima kasih kepada pemandu lori yang turut sama menunjukkan rasa prihatin. Ini semangat yang harus kita hidupkan dalam masyarakat, saling bantu-membantu tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Jaffari turut menasihatkan agar pemandu sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan jauh, terutama jika membawa rombongan seperti guru yang memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan negara.

“Sebagai pemimpin masyarakat, kita harus sentiasa bersedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.

“Tahun baharu Hijrah ini sewajarnya menjadi medan untuk memperkukuh nilai murni dan semangat kebersamaan,” katanya.