Penyerahan 86 Kelulusan Tanah Rizab Perkampungan Melati Burut Tawau, Bukti Bukan Janji Pilihan Raya

TAWAU : Seramai 86 penduduk Kampung Melati Burut, Tawau menarik nafas lega apabila tanah seluas 20.4 ekar diwartakan sebagai tanah perkampungan yang sah berkuasa pada 14 Mei lalu.

Rata-rata penduduk menolak dakwaan kelulusan ini bukan janji kosong menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Mereka melahirkan perasaan gembira selepas menunggu lebih 25 tahun agar tanah perkampungan ini diluluskan sebagai tanah perkampungan yang sah.

Seorang penduduk Kampung Melati Burut Merotai, Amirudin Ateng berkata, selepas ini beliau mencadangkan agar pelantikan jawatan Ketua Kampung serta pengurusan pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat dipercepatkan.

Katanya, ini bagi membolehkan agar pihak pengurusan kampung dapat menyelesaikan beberapa perkara penting termasuk urusan membabitkan jabatan kerajaan di kawasan daerah Tawau.

“Selepas itu, pihak pengurusan kampung dapat mencadangkan projek pembinaan jalan raya, Dewan Serbaguna serta kemudahan Rumah Mesra SMJ kepada penduduk di Kampung Melati Burut ini.

“Kesian…Kalau hujan sudah tentu kasut anak-anak sekolah berlumpur sehingga menimbulkan kerumitan dalam kalangan Ibu bapa mereka,” kampung,” katanya di sini hari ini.

Amirudin berkata, beliau sudah tinggal lebih 20 tahun lalu menyifatkan kelulusan tanah ini merupakan hadiah ‘Maal Hijrah’ kepada seluruh penduduk Kampung Melati Burut, Merotai Tawau.

Sementara itu, Juddin Abd Husin, 40, berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas keperihatinannya memberi kelulusan kepada penduduk kampung.

“Usaha ini tidak akan tercapai sekiranya tanpa usaha berterusan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah.

“Penduduk kampung ini meletakkan keyakinan tinggi apabila Tan Sri hanya memerlukan masa selama enam bulan untuk mendapatkan kelulusan pewartaan tanah perkampungan ini,” kata Juddin.

Sementara itu, Naih Arshad, 47, berkata kelulusan tanah ini membuktikan ia bukan janji-janji politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Kelulusan warta kampung ini diperoleh sebelum PRN, bermaksud Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menepati janjinya kepada penduduk kampung.

“Kami sangat bersyukur….Terima kasih sekali lagi kepada Tan Sri Liew Yun Fah serta pihak pengurusan kampung atas usaha yang sangat bermakna ini,” kata Naih.

Sementara itu, Imam Masjid Auraudah Asyakirin Kampung Melati Burut, Ibrahim Gega Radin berkata, kerja keras pihak pengurusan awal menjadikan usaha merealisasikan kelulusan pewartaan ini menjadi kenyataan.

“Pelbagai halangan dihadapi untuk meyakinkan penduduk kampung berikutan sudah ada usaha sebelum ini oleh pemimpin lama untuk mewartakan tanah perkampungan ini.

“Kami menunggu lebih 20 tahun untuk menerima kelulusan ini…Alhamdulillah terima kasih kepada Ketua Menteri dan Presiden Harapan Rakyat atas usaha ini,” kata Ibrahim.

Menurutnya, selepas ini pihaknya akan memberi tumpuan kepada menubuhkan pentadbiran kampung bagi memastikan pelbagai bantuan kerajaan dapat disalurkan kepada penduduk Kampung Melati Burut Merotai Tawau.