KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai bukti pendekatan rundingan kerajaan negeri membawa hasil yang positif.
Menurut beliau, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memilih pendekatan matang dengan mengutamakan rundingan dan kerjasama strategik bersama kerajaan Persekutuan dalam memperjuangkan hak Sabah.
“Peningkatan bayaran interim ini membuktikan tuntutan Sabah terus didengar dan diterjemahkan kepada komitmen kewangan yang lebih besar oleh kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Nizam berkata, pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah memerlukan proses yang teliti kerana melibatkan pelbagai aspek termasuk undang-undang dan fiskal.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan mendapatkan hak Sabah akan terus diteruskan sehingga penyelesaian yang adil dan menyeluruh dapat dicapai selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
