Tekong pam bot terjun laut, lari elak ditahan Maritim

LAHAD DATU: Seorang tekong pam bot bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke daratan bagi mengelak ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi di perairan Pulau Tabawan, Kunak pada Khamis.

Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kejadian berlaku ketika anggota bot ronda menghampiri sebuah pam bot yang mencurigakan.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan ikan campur yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.

Dalam operasi sama, Maritim Malaysia turut menahan sebuah vesel pukat jerut bilis yang dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara menyalahi undang-undang.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan RM122,000 dan siasatan dijalankan mengikut Akta Perikanan 1985.