Tiada lesen mencarigali kepada Syarikat Bumi Suria Sdn Bhd – Bernard

KOTA KINABALU : Jabatan Tanah dan Ukur Sabah  memaklumkan tiada sebarang lesen mencarigali (Prospecting Licence) dikeluarkan kepada Syarikat Bumi Suria Sdn Bhd di bawah peruntukan Ordinan Perlombongan Sabah 1960 (SMO 1960).

Pengarah Tanah dan Ukur merangkap Ketua Merinyu Galian Sabah, Datuk Bernard Liew Chau Min berkata, segala kenyataan, promosi, atau tindakan yang dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan lesen mencarigali oleh Syarikat Bumi Suria Sdn Bhd.

“Adalah tidak berasas dan tidak ada mendapat kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa perlombongan negeri.

“Untuk makluman umum, sebarang aktiviti pencarigalian mineral di Negeri Sabah hanya boleh dijalankan setelah mendapat lesen sah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 6 dan 8 Ordinan Perlombongan Sabah 1960,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bernard berkata, semua adalah tertakluk kepada syarat-syarat teknikal serta perundangan lain yang berkaitan yang ditetapkan.

“Pihak jabatan memandang serius sebarang kenyataan awam melalui mana-mana media yang boleh mengelirukan orang awam,” jelas Bernard.