KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata beliau bersedia untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung bantuan rangsangan COVID-19 Jana Wibawa.
Kata Tengku Zafrul lagi, tiada apa yang hendak disembunyikan berhubung dana projek itu.
“Ada media tanya saya mengenai Jana Wibawa. Tiada apa yang perlu disembunyikan dan saya sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan itu.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.