Pelantikan ‘Ruji Ubi’ bukti penghargaan kepada rakyat Sabah – Awang Jaafar

KOTA KINABALU: Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menyambut baik pelantikkan Datuk Ruji Ubi sebagai Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) di Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai pengiktirafan terhadap kemampuan anak tempatan Sabah di peringkat nasional.

Pengerusi Perhubungan Negeri MCCF Sabah, Datuk Awang Jaafar Wahid berkata, ini sekali gus membuktikan kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka ruang kepada anak tempatan Sabah  untuk menjawat jawatan penting di kementerian kanan di negara ini.

Katanya, ini membuktikan anak tempatan Sabah juga berkeupayaan sekali gus sebagai contoh permulaan baik kepada penjawat awam lain di negeri ini.

“Sudah tentu daerah kelahirannya Tawau berasa bangga berikutan Ruji Ubi lebih mengenali isu serta masalah yang boleh diselesaikan mengikut tatacara perundangan sedia ada.

“Kita lihat gandingan antara KSU (Ruji) bersama Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution akan mampu melonjakkan imej serta prestasi kementerian ini di masa depan,” katanya di sini hari ini.

Awang Jaafar berkata, pelantikan itu bukan bertujuan untuk mengambil hati orang Sabah tetapi ia diyakini berdasarkan kemampuan serta pengalaman luas Ruji sendiri.

“Pemilihan Ruji sebagai KSU adalah tepat dan penempatan beliau di KDN juga suatu keputusan yang bijak.

“Ruji boleh mengangkat martabat semua agensi di dalam KDN ke tahap lebih tinggi dan ini adalah sejarah yang membanggakan bagi rakyat di negeri ini,” katanya.

Awang Jaafar berkata, berdasarkan dengan pengalaman luas beliau ketika menjawat pelbagai jawatan kanan sebelum ini, MCCF yakin Ruji dapat memberikan gambaran yang tepat dan bernas berkaitan isu keselamatan dalam negara khasnya di Sabah.

“Mengikut rekod perkhidmatan Ruji pernah berkhidmat pernah mengetuai pengurusan ESSCOM sebelum bertukar ke jawatan lain. Ini antara faktor utama Ruji mampu menunjukkan prestasi cemerlang berkhidmat di KDN nanti,” katanya.