KOTA KINABALU: Kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak bakal menerima sistem tenaga solar menggunakan teknologi baharu bagi menjana elektrik menerusi program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata teknologi baharu itu menggunakan bateri kereta elektrik (EV) yang boleh bertahan untuk jangka masa yang lama.
Katanya ia bagi menggantikan sistem tenaga solar yang pernah digunakan sebelum ini di kawasan luar bandar kedua-dua negeri yang mana bateri adalah masalah utamanya.
Beliau berkata pelaksanaan kaedah sebelum ini juga dilihat mempunyai kelemahan dalam aspek penukaran bateri berikutan hanya satu pembekal melaksanakannya menyebabkan ia tidak praktikal.
“Menurutnya apa yang telah dilakukan selama ini di Sabah sendiri dan Sarawak, pemasangan panel solar ini sudah dilakukan lebih satu dekad yang lalu ertinya lebih 10 tahun lalu.
“Tetapi oleh kerana sistem penukaran bateri itu diberikan satu pihak sedangkan kawasan Sabah dan Sarawak ini terlalu luas maka ianya tidak praktikal serta mengambil masa dan akhirnya kawasan yang menggunakan tenaga solar mengalami kegelapan yang lebih lama.
“Oleh yang demikian, satu sistem baharu perlu diwujudkan untuk kaedah mengantikan bateri ini dengan bateri yang baharu sebagai mana bateri EV,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penutupan Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik (APCYS 4.0), di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata teknologi baharu tenaga solar itu bakal membawa perubahan dalam pembekalan elektrik luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, bagi menyelesaikan masalah pembekal yang dialami sebelum ini, beliau berkata jumlahnya akan ditambah dan diletakkan di beberapa kawasan berbanding hanya satu pembekal yang digunakan sebelum ini.