KOTA KINABALU: Golongan belia perlu dilibatkan secara langsung dalam tadbir urus dan pembangunan negara termasuk melalui gerakan koperasi yang digalakkan oleh kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau landskap ekonomi global berubah dengan pantas pasca pandemik COVID-19 memberikan pelbagai cabaran yang memerlukan perhatian segera.
“Dalam hal ini, penglibatan belia adalah kritikal kerana mereka adalah golongan yang mampu untuk melaksanakan inisiatif secara inovatif seiring dengan gelombang pendigitalan.
“Saya percaya gabungan kepimpinan belia dan kepimpinan sedia ada dapat mempercepat pencapaian gerakan koperasi serantau dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat yang wajar demi pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif,” katanya pada penutupan Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik 4.0 (APCYS4 0), di sini, hari ini.
Program yang bertujuan memanfaatkan potensi belia dalam menangani cabaran global masa kini dan memacu matlamat pembangunan mampan melalui gerakan koperasi itu berlangsung sejak 27 Julai lalu di bawah anjuran International Co-operative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP).
Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Pembantu Menteri kepqda Ketua Menteri Sabah Datuk Abidin Madingkir.
Mengenai program itu, Ahmad Zahid berkata APCYS 4.0 adalah platform untuk koperator muda berkumpul dan mempelajari amalan serta usaha lestari yang diterajui koperasi, mendalami pengamalan berkoperasi secara langsung, berkongsi idea perniagaan koperasi dan mengalami sendiri perbezaan budaya yang dibawa peserta dari negara rantau Asia Pasifik.
Sementara itu, Ewon dalam ucapan alu-aluannya menyarankan agar lebih ramai golongan belia memilih koperasi sebagai sumber pembangunan sosio ekonomi secara berkumpulan.
“Koperasi adalah wadah untuk memperkasa individu, lebih-lebih lagi golongan belia yang mempunyai matlamat sama untuk bekerjasama menyumbang secara aktif dalam pembangunan ekonomi dan sosial.
“Dengan memupuk semangat kebersamaan dan solidariti, koperasi mampu mengubah kehidupan golongan belia dalam menghadapi ketidaktentuan dan cabaran ekonomi semasa,” katanya.
APCYS 4.0 yang berlangsung sepanjang empat hari bertemakan Kerjasama Untuk Gaya Hidup Lestari disertai seramai 186 delegasi belia dari 19 negara rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia.
Sidang kemuncak itu dihoskan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) sebagai badan gerakan koperasi Malaysia dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.