SHAH ALAM: Kerajaan perlu mencari pendekatan baharu bagi menangani isu banjir yang sering berlaku di negara ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, situasi banjir yang kerap kali berlaku di negara ini bukanlah perkara biasa kerana selain faktor perubahan iklim dunia, banjir juga berlaku kerana pembangunan tidak terancang, pengabaian aspek pemuliharaan alam sekitar dan kelemahan penyelanggaran sistem saliran yang tidak sempurna.

Katanya, sering kali membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat bahawa isu banjir bukanlah perkara baru tapi ia sudah menjadi satu ancaman kepada negara dan rakyat.
“Kerajaan perlu ada perancangan jangka pandek dan jangka panjang untuk menangani masalah banjir di negara ini.
“Ia tidak hanya bergantung dengan “ad hoc committee” semata-mata tetapi jawatankuasa berkenaan perlu ada perancangan jangka masa panjang untuk menangani isu banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan UMNO Sabah di Taman Sri Muda Shah Alam dan Kampung Labihan Dagan Banting di sini semalam.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berpandangan dalam masa yang sama Kerajaan perlu bertindak untuk melengkapkan aset kelengkapan bantuan penyelamat serta anggota agar bila berlaku banjir luar biasa ianya cepat digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat.
Dalam pada itu Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO meminta sektor korporat dan badan-badan NGO agar turun padang membantu mangsa-mangsa banjir di beberapa buah daerah di Selangor yang terjejas teruk oleh kejadian banjir yang berlaku minggu lepas.