KOTA KINABALU: Sebuah syarikat dari Korea Selatan, Curix Sdn Bhd dengan anggaran pelaburan 300 juta bagi penghasilan butiran kuprum (Copper Granule) di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah menyiapkan kerja penyediaan tapak seterusnya akan memulakan pembinaan bangunan kilang dalam tempoh terdekat.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri Datuk Phoong Jin Zhe berkata, kilang yang akan menyediakan sekitar 70 peluang pekerjaan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2025.
Pada masa yang sama, katanya, kerja-kerja pembinaan tambahan production line syarikat Kumpulan Kibing di KKIP juga telah dimulakan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2025.
“Pelaburan tambahan berjumlah RM700 juta ini dijangka akan mewujudkan 600 peluang pekerjaan baharu,” katanya menjawab soalan ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Kali Ke-16, semalam.
Phoong, ADUN Luyang berkata, usaha kementerian merancakkan pertumbuhan sektor perindustrian di negeri ini tidak hanya tertumpu kepada pelaburan asing sahaja malah pelaburan domestik juga dititikberatkan memandangkan pelaburan domestik turut mampu untuk menyumbang kepada sektor perindustrian negeri.
Beliau berkata, terdapat enam pelabur domestik dengan anggaran nilai pelaburan RM250 juta sedang menjalankan kerja-kerja penyediaan tapak dan pembinaan kilang di KKIP.
Katanya, pelaburan ini adalah melibatkan pemprosesan makanan dan minuman, fasiliti penyimpanan sejuk beku dan gudang serta pengurusan sisa berjadual yang dijangka akan mewujudkan 828 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
“Terdapat enam pelabur domestik lagi dengan anggaran nilai pelaburan RM325.5 juta juga sedang menjalankan kerja-kerja penyediaan tapak dan pembinaan kilang di POIC Lahad Datu.
“Pelaburan domestik ini adalah merangkumi pembuatan baja, fasiliti perkhidmatan logistik dan gudang, pengurusan sisa industri serta kemudahan tangka penyimpanan pelbagai guna yang dijangka akan mewujudkan 284 peluang pekerjaan,” katanya.
Phoong berkata, kementeriannya sentiasa komited untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah demi mempercerpatkan pertumbuhan sektor perindustrian sekaligus untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
