DUN Sabah : Isu Pewartaan Kampung Likas Lama perlu diselesaikan segera – Azhar

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri perlu memberi jaminan agar kawasan Kampung Likas Lama tidak dimasukkan dalam senarai koloni setinggan dijangka akan diambil tindakan perobohan dalam tempoh terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin berkata, kawasan Kampung Likas Lama merupakan sebuah perkampungan asal Likas mula didiami sejak lebih 100 tahun atau selewatnya pada tahun 1920.

Katanya, beliau yakin kampung ini merupakan kampung tertua di Kampung Likas sekali gus malangnya kampung ini diwartakan sebagai reserve kumbahan.

“Apa yang merisaukan saya mutakhir ini, adalah kerajaan melalui Jawatankuasa Menangani Setinggan Sabah mengenalpasti 285 Koloni Setinggan di seluruh Sabah.

“Kampung ini mungkin tersenarai sebagai salah satu koloni yang dimaksudkan tadi. Anehnya, walaupun belum diwartakan sebagai perkampungan, fasiliti seperti air dan letrik dibekalkan kepada penduduk secara sah untuk tempoh sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2024) pada Persidangan DUN Sabah di sini semalam.

Azhar berkata, pada 22 Jun 2020, beliau telah memohon pembatalan perwartaan reserve kumbahan melalui satu surat kepada Ketua Menteri pada masa tersebut.

“Pada ketika itu, Ketua Menteri telah memanjangkan surat tersebut kepada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, untuk perhatian dan tindakan sewajarnya pada 23 Jun 2020 sehari selepas beliau menerima surat daripada saya.

“Tindakan segera dalam memberikan status sewajarnya terhadap permohonan ini adalah perlu bagi memastikan penduduk kampung yang telah tinggal diperkampungan ini selama beberapa keturunan dapat meneruskan kehidupan tanpa sebarang kerisauan,” jelas Azhar.