DUN Sabah : KPDN Sabah laksana Ops Tiris benteras penyelewengan diesel bersubsidi di Sabah

KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah melaksanakan beberapa pendekatan penguatkuasaan mencegah penyelewengan diesel bersubsidi di Sabah.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng berkata, ini sekali gus untuk mengelak kenaikan harga barangan keperluan yang tidak munasabah.

Katanya, antara pendekatan diambil termasuk Ops Tiris 3.0: iaitu pengawasan ketat terhadap stesen minyak dan pengedar oleh Pegawai penguatkuasa KPDN yang akan menjalankan pemeriksaan berkala dan ad-hoc.

“Ops Kesan 2024: iaitu pemeriksaan secara pro-aktif ke atas rantaian pengedaran barangan merangkumi peringkat pengeluar / peladang / penternak / pemasaran am, pengedar, pemborong dan peruncit di seluruh negeri dan daerah.

“Ops Catut 2024: iaitu pemeriksaan bagi memastikan peniaga mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 Pemeriksaan merangkumi arahan semasa pemeriksaan back to
school, bahan bakeri dan makanan sedia bungkus,” katanya pada sesi soal jawab, Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Flovia menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan Datuk Annuar Ayub bertanya kepada
apakah tindakan atau mekanisma diambil kerajaan.

Ini memastikan tiada kenaikan harga barang di negeri ini ekoran penarikan subsidi bahan api diesel di Semenanjung melibatkan kos logistik serta mekanisma berkenaan subsidi bersasar untuk di Sabah.

Menurutnya, KPDN juga bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan harga bekalan barangan keperluan terkawal dan mencukupi termasuk Jabatan Perkhidmatan Veteriner (JPV), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).