DUN Sabah : Lokasi bersesuaian dikenalpasti Pembinaan Kompleks Sukan Pantai Manis – Ellron

KOTA KINABALU : Pembinaan  Kompleks Sukan Pantai Manis tidak dapat dipertimbangkan memandangkan tapak dicadangkan tidak bersesuaian sekali gus tidak mempunyai keluasan yang mencukupi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, kementeriannya akan mengemukakan semula permohonan tersebut kepada Kerajaan Persekutuan selepas mengenalpasti tapak yang bersesuaian bagi tujuan pembinaanya.

Katanya, ini termasuk mematuhi garis panduan serta peraturan yang ditetapkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi pembinaan kompleks sukan berkenaan.

“Pembinaan kompleks sukan itu terikat dengan peraturan yang telah dikuatkuasakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Dalam syarat tersebut mewajibkan setiap permohonan membina baharu kemudahan sukan diwajibkan di tapak milik Pejabat Tanah Persekutuan (PTP) atau telah diwartakan kepada PTP,” katanya pada sesi soal jawab, Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Ellron menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis Mohd Tamin Zainal bertanya kepada status mini stadium dicadangkan pembinaannya di DUN Pantai Manis.

Menurutnya, projek pembinaan mini stadium di DUN Pantai Manis dipohon di bawah projek Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.