Dua lelaki tempatan ditahan cuba seludup balat dan daging penyu

KUDAT : Sebuah bot tanpa nombor pendaftaran bersama dua lelaki warga tempatan selepas disyaki melakukan beberapa jenis kesalahan di Tenggara Tagumamal Laut, Kudat, Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, dua suspek berkenaan berumur antara 17 dan 27 tahun ditahan bersama hasil tangkapan yang cuba diseludup.

Katanya, suspek akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 selepas disyaki tidak memiliki lesen perikanan dan menangkap ikan menggunakan  peralatan tidak dibenarkan.

“Zon Maritim Kudat dalam beberapa operasi berjaya mematahkan cubaan menyeludup daging spesis terancam dipercayai daging penyu serta balat di perairan Kudat.

“Hasil maklumat risikan pihaknya mengesan sebuah bot dilaporkan melakukan aktiviti mencurigakan di kawasan pesisir timur Pantai Tanjung Kalutan, Kudat sekitar jam 5.00 petang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Maurice berkata, semasa menghampiri bot terbabit, suspek bertindak melarikan diri  ke kawasan cetek bagi mengelak daripada ditahan pihak penguat berkuasa.

“Ketika berada di lokasi kita menemukan 23 guni daging penyu kering dianggarkan seberat 160 kilogram serta 52 guni balat kering dengan anggaran berat 500 kilogram dicampak suspek.

“Anggaran barangan rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000 akan disiasat di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana disyaki cubaan menyeludup spesis haiwan terlindung,” jelas Maurice.