KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memuji keputusan yang dibuat Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk meneruskan sokongan parti itu kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden STAR Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berkata, keputusan rakan sejawatnya itu mengukuhkan lagi status autonomi UMNO Sabah.
Katanya, ia turut menunjukkan UMNO Sabah adalah parti yang mengutamakan rakyat negeri ini.
“GRS adalah kerajaan yang dipilih secara demokratik di Sabah. Kami diberi mandat oleh rakyat yang memilih untuk menggulingkan kerajaan pintu belakang tahun lalu.
“Pihak pembangkang berusaha berkali-kali untuk mengacau-bilaukan kerajaan ini tetapi kecewa kerana parti-parti yang membentuk GRS terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang tahu kuasa sebenarnya ada di tangan rakyat.
“Oleh demikian, kami akan terus bekerja keras untuk rakyat, menunaikan janji-janji kami yang dibuat semasa kempen pilihan raya dan memajukan Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan, sebagai sebuah parti, STAR akan terus menyokong kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Sehubungan itu, Jeffrey menggesa semua ahli STAR untuk kekal tenang dan menjalankan tugas seperti biasa.
Terdahulu, Bung menyatakan pendirian UMNO Sabah yang kekal bersama rakan komponen dan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk mempertahankan GRS.
Beliau dipetik berkata, kerajaan negeri ditadbir GRS masih berfungsi seperti biasa dan menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
Pendirian UMNO Sabah itu turut dinyatakan dalam pertemuannya dengan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS.