KOTA BELUD: Seorang wanita yang dipercayai bergiat aktif mengedar dadah di sekitar daerah ini ditahan polis dalam serbuan di sebuah inap desa di Jalan Sangkir, di sini, semalam.
Wanita berusia 30-an itu ditahan bersama dua paket plastik lutsinar disyaki syabu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, operasi dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.
Katanya, ketika diserbu, suspek cuba melarikan diri menggunakan koridor belakang namun tindakan pantas polis berjaya menahan wanita terbabit.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua paket plastik berisi syabu.
“Suspek dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran di sekitar Kampung Tempasuk dan pekan Kota Belud dengan harga sekitar RM30 hingga RM50 bagi setiap ‘dek’ serta RM450 hingga RM500 bagi satu ‘set’ syabu,” katanya dalam laman portal Harian Metro hari ini.
Sahimi berkata, suspek dibawa ke IPD Kota Belud untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif metaphetamine.
Katanya, semakan rekod turut mendapati suspek pernah ditahan pada tahun lalu atas kesalahan dadah.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan,” katanya.