KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menegaskan keputusan partinya menyokong kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibuat berdasarkan kehendak majoriti ahli serta ketua-ketua bahagian parti.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan kestabilan politik negeri selepas GRS tidak memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
“GRS mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan demi kestabilan politik, dan itu juga selaras dengan kehendak STAR. Pilihan raya telah selesai, kini masa untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jeffrey menegaskan sokongan STAR tidak bermaksud parti itu mengorbankan perjuangannya.
Sebaliknya, katanya, STAR kekal konsisten memperjuangkan hak Sabah sama ada berada di pihak kerajaan atau pembangkang.
Walaupun ADUN STAR, Ishak Ayub, diumumkan sebagai pembantu menteri, Jeffrey mengulangi pendiriannya untuk kekal di blok pembangkang.
Dalam kenyataan berasingan, beliau menjelaskan: “Kita bukan duduk dalam GRS. Kita bantu GRS tubuh kerajaan perpaduan demi kestabilan politik selepas PRU17 kerana itu yang rakyat mahukan berdasarkan keputusan pilihan raya.”
