Penskalaan PMKS Jadi Agenda Utama Sabah 2026 – Ewon

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan menjadi fokus utama kementeriannya bermula 2026 sebagai strategi meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kemiskinan di Sabah.

Menurutnya, beberapa inisiatif baharu di bawah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) akan diperkenalkan tahun depan, selaras dengan pembentangan Belanjawan Negeri 2026 hari ini.

Beliau berkata penyelarasan data usahawan perlu diselesaikan segera kerana hanya lebih 8,000 usahawan berdaftar dengan DIDR, sedangkan pemilik perniagaan di Sabah dianggarkan melebihi 100,000.

“Jika kita mahu menskalakan PMKS, kita perlukan data tepat. Ini asas kepada perancangan yang terarah,” katanya.

Ewon berkata beliau sedang menjalankan siri lawatan ke semua agensi di bawah kementerian bagi memahami hala tuju sedia ada sebelum memperkenalkan inisiatif baharu.

Beliau turut memaklumkan bahawa 80% lot di Sabah Agro Industrial Park (SAIP), Papar masih belum beroperasi dan memerlukan pakej promosi lebih efektif.

Selain itu, kementerian sedang meneroka kerjasama dengan Bank Rakyat untuk sokongan pemasaran dan kewangan di taman-taman perindustrian.

Bagaimanapun, semua inisiatif hanya akan diumumkan secara rasmi pada Februari 2026 selepas mendapat mandat kabinet.

Ewon menegaskan bahawa matlamat “Sabah First” kementeriannya adalah meningkatkan pendapatan rakyat melalui keusahawanan dan peluang pekerjaan.

“Apabila usahawan bertumbuh, peluang kerja wujud, pendapatan rakyat meningkat. Ini inti strateginya,” katanya.