ADUN Luyang gesa polis perketat rondaan susulan cubaan pecah masuk

KOTA KINABALU: ADUN Luyang, Samuel Wong menggesa polis meningkatkan pemantauan di kawasan perumahan Luyang susulan beberapa cubaan pecah masuk awal pagi hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat enam rumah di Teck Guan Villa dan Taman Milek Fasa 2 yang menjadi sasaran seorang suspek tidak dikenali antara jam 3 hingga 4 pagi.

Rakaman CCTV menunjukkan individu sama cuba memasuki beberapa rumah serta memeriksa kenderaan penduduk yang diletakkan di luar.

Wong merakamkan penghargaan terhadap tindakan pantas anggota Balai Polis Luyang selepas salah satu keluarga terjejas membuat panggilan kecemasan ketika kejadian.

Beliau menasihatkan penduduk supaya lebih berjaga-jaga, termasuk tidak meninggalkan kunci atau alat kawalan pagar dalam kereta, mengunci pintu dan pagar, serta memasang lampu sensor atau sistem keselamatan jika mampu.

Wong turut menggesa kerjasama lebih erat antara komuniti dan pihak polis, sambil memberi jaminan pejabatnya akan terus memantau situasi dan menyokong inisiatif keselamatan setempat.