PUTATAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY) menegaskan fokus utamanya kini adalah untuk bekerja sepenuhnya bagi memenuhi amanah rakyat setelah secara rasmi mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat hari ini.
Menurutnya, tempoh selepas kemenangan bukan ruang untuk berehat, sebaliknya masa untuk menyampaikan khidmat yang berkualiti kepada penduduk Tanjung Keramat.
Jelasnya, aspirasi untuk memangkinkan kualiti hidup masyarakat, memperkukuh pembangunan modal insan berasaskan ilmu serta menggiatkan ekonomi belia menjadi keutamaan dalam pentadbiran beliau.
“Alhamdulillah, saya bersyukur diberi kesempatan memasuki fasa baharu sebagai wakil rakyat Tg Keramat.
“Saya berterima kasih kepada semua pengundi, jentera dan penyokong yang memberikan kepercayaan ini. Tanpa anda semua, saya tidak akan berada di sini,” katanya.
SAY menegaskan bahawa mandat yang diterimanya merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu diterjemahkan melalui tindakan dan hasil yang dapat dirasai rakyat.
Beliau memberi jaminan bahawa pentadbirannya akan memfokuskan program yang membawa impak langsung kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian selepas majlis angkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, dalam sesi yang menandakan permulaan rasmi tugasnya sebagai wakil rakyat.
Pada PRU DUN Sabah 29 November lalu, calon GRS itu memenangi kerusi Tanjung Keramat dalam pertandingan 11 penjuru dengan majoriti 1,153 undi, sekali gus mengukuhkan mandat beliau untuk memacu pembangunan kawasan tersebut.
