KENINGAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di Keningau pada 10 Disember.
Ini susulan risikan hampir seminggu dan maklumat awam berhubung kehadiran warga asing tanpa dokumen.
Dalam operasi yang menyasarkan beberapa lokasi berbeza, 44 individu diperiksa sebelum 22 daripadanya — warga Filipina dan Indonesia — ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Operasi itu melibatkan 40 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Keningau, dan semua yang ditahan kini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Sabah menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuh, termasuk terhadap pihak yang melindungi atau menggaji PATI.
Agensi itu turut menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang di kawasan masing-masing.
