Sabah Lancar BESS Lahad Datu – Fasiliti Penyimpanan Tenaga Terbesar di Asia Tenggara

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Lahad Datu (BESS Lahad Datu), sebuah projek mega tenaga yang dijangka mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Pantai Timur serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata fasiliti di bawah seliaan Sabah Electricity itu merupakan pencapaian besar untuk Sabah, memandangkan BESS Lahad Datu kini menjadi sistem penyimpanan tenaga terbesar bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Asia Tenggara.

“BESS Lahad Datu direka untuk meningkatkan kestabilan grid, mengurangkan kebergantungan kepada diesel dan menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui di Sabah. Ini satu lonjakan penting dalam sistem tenaga negeri,” katanya.

Teks ucapan dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Hajiji berkata usaha meningkatkan infrastruktur dan keselamatan tenaga menjadi fokus utama melalui Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), yang menekankan tiga teras utama: keselamatan bekalan, kemampuan kos dan kelestarian.

Menurutnya, peralihan kuasa regulatori elektrik kepada Sabah pada Januari 2024 membuka ruang untuk dasar tenaga yang lebih tersusun dan bersesuaian dengan keperluan setempat melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Setakat ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan hampir 1,000MW kapasiti baharu tenaga boleh diperbaharui melibatkan hidro, solar dan angin.

Dalam usaha mempercepatkan peralihan tenaga hijau, ECoS turut melancarkan bidaan Solar Skala Besar (LSS) pada 2024 yang menyaksikan 15 projek berjumlah 199MW diluluskan – 113MW di Pantai Barat dan 86MW di Pantai Timur.

Dengan pelaksanaan projek semasa, kapasiti LSS Sabah dijangka melebihi 350MW menjelang 2027, iaitu 23 peratus daripada keseluruhan campuran kapasiti penjanaan negeri. Satu lagi projek LSSPV di Kota Marudu pula dijangka siap pada 2026.

Hajiji menegaskan bahawa teknologi penyimpanan tenaga akan terus diperluas di lokasi strategik bagi mengurangkan gangguan bekalan serta memantapkan integrasi tenaga boleh diperbaharui ke dalam grid.

Beliau berkata Sabah Electricity turut bekerjasama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk melaksana SabahRE2 serta memperluas akses elektrik ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kerajaan Negeri kekal komited memastikan sistem tenaga Sabah lebih stabil, mampu bertahan dan diyakini pelabur. Infrastruktur tenaga yang kukuh adalah asas kemajuan sosioekonomi negeri,” katanya.